NOVEMBER 2024

Hormati Tuntutan Satu Pertiga Kerusi Parlimen Sarawak


KUCHING: Kerajaan Persekutuan digesa agar menghormati tuntutan Sarawak untuk mendapatkan satu pertiga kerusi Parlimen seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Suruhanjaya Cobbold (LSC) serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzruddin Abdul Rahman menegaskan bahawa tuntutan ini berlandaskan asas sejarah dan undang-undang bertujuan menjaga hak serta keistimewaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.

Katanya, perkara ini bukan hanya sekadar tuntutan politik tetapi jaminan perlembagaan yang telah lama termaktub. 

“Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan tuntutan ini secara ikhlas, tanpa sebarang agenda tersembunyi yang boleh menafikan hak dan keistimewaan Sarawak. 

“Kita telah melihat bagaimana mahkamah menegaskan bahawa dokumen seperti LSC dan IGC adalah perjanjian yang mengikat dan tidak boleh dilanggar tanpa persetujuan Sarawak,” katanya.

Beliau membangkitkan perkara tersebut semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong turut menekankan kepentingan mempunyai representasi yang adil di Parlimen dengan membahagikan kawasan berdasarkan kepadatan penduduk. 

Memberi contoh kawasan yang memiliki kepadatan penduduk rendah seperti Baram dan Belaga, ujarnya pembahagian kerusi perlu adil bagi melindungi hak rakyat di luar bandar.

“Saya mengesyorkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil kira isu ini,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Fazzruddin menyambut baik komitmen Kerajaan Sarawak dalam meneruskan bantuan 30 peratus diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar Sarawak. 

Menurutnya, inisiatif ini sangat bermanfaat bagi graduan yang baharu bekerja, membolehkan mereka melunaskan pinjaman lebih cepat serta meringankan komitmen kewangan bulanan.